Wednesday, October 12, 2011

ISTIHADHAH ....


“Darah istihadhah ialah darah penyakit yang keluar dari faraj perempuan. Darah ini bukanlah merupakan darah haid atau darah nifas. Ia adalah sejenis darah penyakit. Seseorang perempuan yang ketika didatangi darah istihadhah, wajib berpuasa, bersembahyang dan boleh mengerjakan ibadah lain sama seperti orang lain yang tidak didatangi haid dan nifas.”

ISTIHADHAH. 

Istihadhah BUKAN darah Haid. Haid sekurang-kurangnya 24 jam dan paling lama 15 hari. Jika ada darah yang keluar selepas tempoh 15 hari haid, maka itu adalah Istihadhah.

Tajuk istihadhah bukanlah senang untuk ditulis. Ia lebih mudah diberitahu secara lisan. Tapi, InsyaAllah.. Kerisauan akan menjadi pendorong untuk cuba menulis dan menyampaikan dengan baik.

Tempoh paling lama KELUAR HAID adalah 15 HARI .Kemudian, seseorang wanita akan berada
 dalam tempoh SUCI DARI HAID selama 15 HARI juga .Jika ada darah yang keluar selama mana dia 
 dalam tempoh 15 HARI SUCI, maka itu adalah darah ISTIHADHAH dan bukannya HAID.

CIRI CIRI ISTIHADHAH

Darah istihadhah mempunyai ciri-ciri sebagai berikut:
  • Warnanya merah dan tipis... Berbeza dengan warna Haid yang hitam dan merah pekat.
  • Baunya seperti darah biasa. Berbeza dengan bau Haid yang agak busuk. 

HUKUM KETIKA ISTIHADHAH.

  1. Tidak wajib mandi junub ketika ingin mengerjakan solat wajib ataupun sunat pada bila-bila masa. Kecuali satu kali ketika haidnya sudah berhenti.
  2. Orang Istihadhah wajib berwuduk setiap kali hendak mengerjakan solat.
  3. Hendaklah ia membasuh kemaluannya sebelum berwuduk dan kemudian ia menutup kemaluannya dengan sehelai kain atau kapas untuk menahan atau mengurangi najis daripada terus keluar. Jika cara ini tidak berjaya menahan darah istihadhah, maka hendaklah ia menyumbat atau mengikat kemaluannya supaya tidak bocor.
  4. Tidak menjadi halangan bagi suami yang ingin menjimak isterinya ketika istihadhah. Ini merupakan pendapat mejoriti para ulamak, kerana ia tidak mempunyai satu dalilpun yang mengharamkannya.
  5. Hukum wanita istihadhah sama sepertimana wanita yang suci daripada haid dan nifas. wanita istihadhah boleh mengerjakan solat, puasa, tawaf, membaca Al-Quran, menyertuh Al-Quran dan sebagainya.

“Fatimah Binti Abi Hubaisy telah datang menemui Nabi SAW dan berkata : Wahai Rasulullah, aku telah beristihadhah, oleh itu aku tidak suci, maka adakah aku perlu meninggalkan solat? Sabda Rasulullah SAW : Tidak, itu hanyalah darah penyakit dan bukan darah haid. Ketika kedatangan haid hendaklah engkau meninggalkan solat, dan apabila kadarnya telah berlalu( tempoh haid telah habis), maka hendaklah engkau membasuh darah yang berada pada diri engkau dan hendaklah engkau bersolat. 

(Riwayat Al-Bukhari)

“Fatimah binti Abi Hubaisyh ra telah mengadu kepada Nabi SAW : Sesungguhnya aku kedatangan haid tanpa putus-putus. Apakah aku perlu meninggalkan solat? Nabi s.a.w. menjawab : Tidak, sesungguhnya itu adalah darah dari urat, bukan darah haid. (Oleh demikian, janganlah kamu tinggalkan solat pada keseluruhan hari datangnya darah itu), akan tetapi kamu tinggalkan solat hanya pada hari-hari kamu biasa kedatangan haid padanya, kemudian (apabila habis hari-hari tersebut), hendaklah kamu mandi dan tunaikanlah solat." 

(Riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim).

“Fatimah binti Abi Hubaiysh r.a. menghadapi istihadhah, maka Rasulullah s.a.w. bersabda kepadanya : Sesungguhnya darah haid adalah darah berwarna hitam yang dikenali (yakni ia mempunyai bau yang dikenali oleh kaum wanita). Oleh demikian, jika kamu melihat darah sedemikian, hendaklah kamu menahan diri dari menunaikan solat. Tetapi jika kamu melihat darah berwarna lain, maka ambillah wudhuk dan kerjakanlah solat.” 

(Riwayat Abu Daud, an-Nasai, Ibnu Hibban dan al-Hakim. 
Berkata al-Albani; hadis ini hasan soheh).


Rujukan :- http://www.ustaznoramin.com




~MOGA BERMANFAAT~




BARAKALLAHU LANA :)

No comments: