Tuesday, August 30, 2011

Adab-Adab Menyambut Syawal

Sebagai hadiah kemenangan orang-orang Islam dalam perjuangan mengengkang hawa nafsu di bulan Ramadhan Allah Subhanahu wa Ta'ala membalasnya dengan satu hari yang dinamakan 'Idulfitri atau Hari Raya Fitrah, di mana Allah Subhanahu wa Ta'ala menghalalkan mereka berbuka puasa dan mengharamkan berpuasa pada hari tersebut.

Dalam keghairahan menyambut Hari Raya yang mulia adalah wajar ianya disambut mengikut lunas- lunas yang digariskan oleh Syara' dan tidak dicampurbaurkan dengan perkara-perkara yang dilarang atau yang diharamkan.

Hari Raya memang tidak boleh disamakan dengan sambutan perayaan- perayaan yang lain, kerana ianya merupakan kurniaan Allah Subhanahu wa Ta'ala khusus kepada hamba- hamba yang beribadat dan berjuang melawan hawa nafsu sepanjang bulan Ramadhan.

Apakah adab-adab dan perkara-perkara sunat yang dilakukan ketika menyambut kedatangan Hari Raya?

Banyak fadilat atau kelebihan yang terdapat pada malam Hari Raya. Oleh sebab itu, di antara adab-adab dan perkara-perkara sunat yang telah digariskan oleh Syara' untuk kita melakukannya ialah menghidupkan malam Hari Raya itu dengan melakukan amal-amal ibadat seperti mendirikan sembahyang fardhu secara berjemaah, melakukan sembahyang sunat, bertakbir, memanjatkan doa ke hadrat Ilahi dan melakukan apa- apa jua bentuk perkara yang berkebajikan.

1. Berdoa di malam raya

Al-Imam Al-Syafie Rahimahullahu Ta'ala telah menegaskan bahawa malam Hari Raya itu adalah di antara malam-malam yang mudah diperkenankan doa, sebagaimana beliau berkata di dalam kitabnya Al-Umm: "Telah sampai kepada kami bahawasanya pernah dikatakan, sesungguhnya doa itu sungguh mustajab pada lima malam; malam Jumaat, malam Hari Raya Adha, malam Hari Raya Fitrah, awal malam Rajab dan malam Nisfu Sya'ban.

Perlu diingat juga, kelebihan menghidupkan malam Hari Raya itu tidak akan diperolehi melainkan dengan mengisi dan menghidupkan sebahagian besar malam tersebut, sebagaimana mengikut pendapat yang shahih.

2. Bertakbir Sepanjang Malam sehingga sebelum Solat Sunat Aidilfitri

Kemeriahan Hari Raya lebih dirasai apabila laungan takbir bergema. Namun begitu, tidak bermakna takbir itu semata-mata untuk memeriahkan suasana tetapi lebih dari itu, ianya lebih bersifat untuk melahirkan rasa kesyukuran dan mengagungkan Allah Subhanahu wa Ta'ala. Allah memerintahkan kepada kita mengakui akan kebesaran dan keagunganNya dengan mengucapkan takbir.

Ucapan takbir pada malam Hari Raya itu merupakan ibadah yang kita lakukan untuk melepaskan Ramadhan dan untuk menyambut kedatangan 'Idulfitri. Oleh sebab itu, disunatkan kepada kita mengucapkan takbir dengan mengangkat suara, bermula waktunya dari terbenam matahari malam Hari Raya sehingga imam mengangkat takbiratul ihram sembahyang Hari Raya. Firman Allah Ta'ala:

Tafsirnya: "Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan hendaklah kamu mengagungkan Allah atas petunjukNya yang diberikan kepadamu, supaya kamu bersyukur."

(Surah Al-Baqarah : 185)


3. Mandi Sunat Aidilfitri


Di pagi Hari Raya pula disunatkan mandi kerana Hari Raya sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ibnu 'Abbas dan Al-Fakih bin Sa'd Radhiallahu 'anhum bahawa Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam melakukan mandi pada Hari Raya Fitrah dan Hari Raya Adha. Hadits ini dikeluarkan oleh Ibnu Majah.

4. Memakai Pakaian yang Terbaik, menghilangkan bau yang tidak elok

Di samping itu disunatkan juga memakai pakaian yang sebagus-bagusnya, memakai harum-haruman dan menghilangkan segala bau-bau yang tidak elok. Tidak kira sama ada orang itu hendak keluar pergi ke masjid untuk menunaikan sembahyang Hari Raya ataupun duduk sahaja di rumah, kerana hari tersebut merupakan hari untuk berhias-hias dan berelok-elok. Diriwayatkan daripada Ja'far bin Muhammad daripada bapanya daripada datuknya:

Maksudnya: "Bahawasanya Shallallahu 'alaihi wasallam memakai kain yang bergaris-garis (untuk diperselimutkan pada badan) pada setiap kali Hari Raya."


(Hadits riwayat Al-Syafi'e dan Al-Baghawi)

5. Makan terlebih dahulu (seeolk-eloknya makan kurma dalam bilangan ganjil)

Sebelum keluar pergi ke masjid untuk menunaikan sembahyang sunat Hari Raya Fitrah disunatkan makan dan minum terlebih dahulu kerana mengikut apa yang dilakukan oleh Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam sebagaimana yang diriwayatkan daripada Anas Radhiallahu 'anhu, beliau berkata:

Maksudnya: "Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam tidak keluar pada waktu pagi Hari Raya Fitrah sehingga Baginda makan (terlebih dahulu) beberapa biji tamar dan Baginda memakannya dalam bilangan ganjil."

(Hadits riwayat Al-Bukhari dan Ahmad)


6. Mengucapkan tahniah

Selain itu, Hari Raya merupakan hari kemenangan dan kegembiraan, maka sebab itu disunatkan bagi sesama muslim saling mengucapkan tahniah antara satu sama lain dengan mengucapkan:

Ertinya: "Semoga Allah menerima daripada kita dan menerimaNya daripada awak."

Daripada Jubair bin Nufair, di mana beliau merupakan salah seorang Tabi'en (orang-orang yang datang setelah Sahabat Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam) telah berkata (maksudnya): "Sahabat- sahabat Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam apabila mereka berjumpa di Hari Raya, setengahnya mengucapkan kepada setengah yang lain:

Ertinya: "Semoga Allah menerima daripada kami dan menerimaNya daripada awak."


Menurut pandangan jumhur ulama bahawa mengucapkan tahniah di Hari Raya merupakan sesuatu perkara yang disyari'atkan di dalam Islam.

Al-Imam Al-Qalyubi menaqalkan daripada Al-Imam Ibnu Hajar bahawa memberi atau mengucapkan tahniah pada hari-hari raya, bulan-bulan dan tahun- tahun (kerana ketibaannya) merupakan perkara yang disunatkan. Al-Imam Al-Baijuri mengatakan: Inilah yang yang dii'timadkan.(Al-Mausu'ah Al-Fiqhiyyah, Juz 14, m.s. 100)

7. Ziarah menziarahi

Manakala itu pula, amalan saling ziarah menziarahi rumah terutama sekali saudara mara terdekat dan sahabat handai merupakan suatu tradisi yang sentiasa diamalkan ketika menyambut Hari Raya. Amalan ini juga sebenarnya termasuk di dalam perkara yang digemari dan disyariatkan di dalam Islam.

Dalil yang menunjukkan pensyariatannya sebagaimana yang diriwayatkan daripada Aisyah Radhiallahu 'anha, beliau berkata:

Maksudnya: "Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam masuk kepadaku, dan di sisiku ada dua orang anak perempuan yang menyanyi dengan nyanyian Bu'ats. Lalu Baginda baring di atas hamparan dan memalingkan mukanya, dan kemudian Abu Bakar masuk, lalu mengherdikku dengan berkata: "Seruling syaitan di sisi (di tempat) Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam!" Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam menghadap kepada Abu Bakar lalu berkata: "Biarkan mereka berdua itu." Melalui riwayat Hisyam Baginda menambah: "Wahai Abu Bakar, masing-masing kaum ada hari rayanya, dan hari ini adalah Hari Raya kita."

(Hadits riwayat Al-Bukhari)

Al-Hafizh Ibnu Hajar Al-'Asqalani menerangkan di dalam kitabnya Fath Al-Baari bahawa kedatangan atau masuknya Abu Bakar Radhiallahu 'anhu ke dalam rumah Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam menunjukkan seolah-olah Abu Bakar Radhiallahu 'anhu datang sebagai pengunjung atau penziarah selepas masuknya Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam ke dalam rumah Baginda.

(Al-Fath Al-Baari, Juz 3, m.s. 116 & Al-Mausu'ah Al-Fiqhiyyah, Juz 31, m.s. 117)

Sehubungan dengan perkara ziarah menziarahi ini, adalah ditekankan kepada orang yang pergi berziarah supaya sentiasa komited terhadap etika ziarah yang ditetapkan oleh Islam. Umpamanya hendaklah meminta izin atau memberi salam sebelum masuk, tidak menghadapkan muka langsung ke arah pintu, menjaga adab kesopanan ketika berada di dalam rumah orang yang diziarahi, memilih waktu yang sesuai untuk berziarah dan sebagainya.

8. Tetap menjaga disiplin sebagai seorang Islam yang beriman

Dalam keghairahan menyambut Hari Raya, perlu diingat jangan sekali-kali sampai lupa kewajipan kita kepada Allah Ta'ala iaitu mendirikan sembahyang fardhu, dan kerana terlalu seronok jangan pula adanya berlaku perlanggaran batasan-batasan agama.

Apa yang di harapkan daripada sambutan Hari Raya sebenarnya bukannya semata-mata kegembiraan atau keseronokan tetapi yang lebih penting dan lebih utama lagi ialah mendapatkan keberkatan dan keredhaan Allah Subhanahu wa Ta'ala. Semoga kita semuanya mendapat keberkatan dan keredhaan Allah Subhanahu wa Ta'ala kerana menghidupkan, membesarkan dan mengagungkan Hari Raya Idulfiri.


http://ramadhankent.blogspot.com/
BARAKALLAHU LANA :)

Maaf Zahir Batin..



Kemenangan itu akhirnya menjelma..
Setelah satu purnama Rahmat..
Menjadi sebuah medan jihad..

Seketika sahaja..
Melawan musuh nafsu dimedan Ramadhan..
Kini telah ku temui kemenangan Syawal..
Terasa baru semalam..
Aku memohon kekuatan jihad..
Berjuang di medan Ramadhan..
Lantas syukur padaNya menerpa..
Kerana kemenangan itu..
Masihku berkesempatan meraikannya..

Tak pernah putus aku berharap..
Semoga hari kemenangan itu..
Memanglah kemenangan buat insan..
Yang jerih berkeringat meraih Redha..

Dan kemenangan itu..
Kemenangan atas berhasilnya perjuangan..
Hingga berjaya meraih sijil Maghfirah..
Juga anugerah Taqwa..

Wahai Syawal..
Moga kedatanganmu..
Membawa barakah yang tak pernah putus..

"Assalamualaikum sahabat pembaca :) Salam 'Idulfitr buat antum ! Mohon ampun dan maaf atas segala kesilapan sama ada sengaja atau tidak. Semoga kedatangan Syawal memberi kebaikan kepada kita sebagai hambaNya. Dan keluarnya kita dari Ramadhan akan diiringi kesucian dari noda-noda sengsara. InysaAllah :)"


1 Syawal

- Nur -
BARAKALLAHU LANA :)

Sedih Dalam Gembira..




Sedih dan Gembira..
Mana satu harus kupilih ?
Apakah sedih ?
Padahal sunnah Nabi bergembira pada tika itu..
Apakah gembira ?
Sedangkan bulan barakah itu baru berlalu..
Patutkah aku menyukai pemergiannya ?
Lantas apa yang harus ku rasa ??


Sedih dan Gembira..
Antara dua..
Mana yang lebih layak buat seorang muslim..
Demi membuktikan kecintaan pada Deennya ?
Meskipun antara dua..
Tetap akan ada..
Sedih dalam Gembira..


Syawal..
Meski aku sedih..
Kegembiraan meraikanmu sebagai kemenangan..
Tetap ada sebagai tanda syukur..
Kerana kemenangan jihadku akhirnya tiba..


Ramadhan..
Dalam aku gembira..
Bukan bererti aku lupa kenangan kita..
Malah akan kucuba sedaya..
Menanam segenap rindu..
Menyimpan memoir redha..
Engkaulah jalan ketenangan..
Melaluimu, aku diberi peluang..
Menjadi lebih taat dan patuh..
Meraih Maghfirah dan Taqwa..
Itulah memori kepulangan..


Sedih dan Gembira..
Harus kedua-duanya..
Sedih pemergian..
Gembira kemenangan..


- Nur -


BARAKALLAHU LANA :)

Saturday, August 20, 2011

Tak Lama Dah..

Rasulullah SAW bersabda :-

“Malaikat Jibril datang kepadaku dan berkata : Rugilah orang yang bila namamu disebut dia tidak mengucapkan selawat atasmu”. Aku mengucap ; Amin. Jibril berkata lagi : Rugi orang yang berkesempatan hidup bersama kedua orang tuanya tetapi dia tidak dimasukan ke syurga. Aku berkata ; Amin. Jibril berkata lagi : Rugi orang yang berkesempatan hidup pada bulan Ramadhan, tetapi tidak sampai terampuni dosa-dosanya. Lalu aku mengucapkan ; Amin. HR. Ahmad


Tak lama dah, lagi 10 hari. Maka orang-orang yang berjihad menentang hawa nafsunya akan menemui kemenangan. Kemenangan untuk orang-orang yang bersungguh-sungguh dalam mujahadah dan mencari sebuah harta yang tak bernilai. TAQWA.. Idaman setiap mukmin.

Matlamat utama ketika masuk ke bulan Ramadhan, pastinya ingin menyucikan diri dan meraih sebanyaknya anugerah Allah. Semoga keluarnya kita dari Ramadhan nanti, kesucian masih bertapa dan anugerah Allah itu akan tetap bersemi di hati dan tidak hilang sinar dan nilainya.. Ameen !


- Nur -





BARAKALLAHU LANA :)

Saturday, August 6, 2011

Tegurlah dengan Baik..

‘‘Hai orang-orang yang beriman taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasul dan kepada pemangku kekuasaan di antaramu. Maka jika kamu berselisih dalam sesuatu (perkara), kembalilah ia kepada (kitab) Allah dan (sunah) Rasul, jika kamu benar-benar beriman terhadap Allah dan hari kemudian. Itulah yang lebih baik dan lebih bagus kesudahannya.”


Firman Allah dalam surah An-Nisa ayat 59 tersebut dengan jelas memperingatkan umat Islam supaya tidak membiarkan sesuatu pertelingkahan atau perbezaan pendapat itu mencetuskan perpecahan di antara mereka.

---------------------------------------------------------------------------------

Tiga faktor yang digariskan oleh Islam boleh menjayakan sesuatu teguran itu ialah,

pertama:- tidak merendahkan ego orang yang ditegur,

kedua:- mencari waktu yang tepat dan

ketiga:- memahami kedudukan orang yang ditegur.

Hakikatnya, Islam memberi panduan yang jelas dalam kita memberi teguran dan bagaimana sikap kita apabila ditegur. Kita tidak harus melatah apatah lagi terlalu emosional sehingga menyebabkan kita melafazkan kata-kata yang tidak sepatutnya.

Semua itu tidak akan menyelesaikan masalah sebaliknya hanya akan mengeruhkan lagi keadaan, tidak kira sama ada kita pemimpin atau tidak tetapi apa yang kita perkatakan pasti akan dinilai oleh manusia dan diperhitungkan oleh Allah.

Kegagalan untuk mengawal perasaan kita berhujah akan menyebabkan berlaku tuduh-menuduh yang kesudahannya akan mencetus permusuhan antara kita.

Tindakan ini sudah tentulah bertentangan dengan firman Allah dalam surah Ali-Imran ayat 103 yang mengingatkan,


‘‘Dan berpegang teguhlah kamu sekalian dengan tali (agama) Allah dan janganlah kamu bercerai-berai dan ingatkan nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu bermusuh-musuhan, maka Allah menjinakkan hati kamu lalu jadikan kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang yang bersaudara, pada hal dahulunya kamu telah berada di jurang neraka, maka Dia menyelamatkan kamu daripadanya. Demikianlah Allah menerangkan kepadamu ayat-ayat agar kamu mendapat petunjuk.”

Hakikatnya, Islam tidak hanya mengajar etika menegur umat seagama tetapi Islam juga mengajar kita bagaimana cara menegur yang betul kepada umat daripada agama lain, tidak kita seburuk apa pun kesalahannya.

Ia terkandung dalam al-Quran melalui perintah Allah kepada Nabi Musa dan Nabi Harun untuk berkata lembut kepada Firaun seperti mana firman-Nya dalam surah Thaha ayat 44 yang bermaksud;

‘‘Berbicaralah kalian berdua kepadanya (Firaun) dengan kata-kata yang lemah lembut,
mudah-mudahan ia ingat atau takut.”


Jika dengan Firaun pun Allah perintahkan para nabi bercakap dengan lemah lembut, apatah lagi kita sesama Islam. Ertinya Allah tidak suka jika kita bercakap atau berhujah mengikut perasaan semata-mata.

Rasulullah s.a.w bersabda,

‘‘Percakapan orang yang berakal muncul dari balik hati nuraninya. Maka ketika hendak berbicara, terlebih dahulu ia kembali pada nuraninya. Apabila ada manfaat baginya, dia harus bercakap dan apabila ia boleh mendatangkan keburukan,
maka dia hendaklah tidak melafazkannya. Sesungguhnya hati orang yang bodoh berada di mulut,
ia berbicara sesuai apa sahaja yang dia mahukan’'.

Seperkara lagi dalam kita berhujah atau mempertahankan sesuatu elakkan daripada memalsukan fakta apatah lagi membuat pujian yang bukan-bukan kepada seseorang ini.

Ia disebabkan pujian yang melampau itu adalah bencana lidah (min afat al lisan) yang sangat berbahaya.

Dalam buku Ihya 'Ulum al-Din, Imam Ghazali menyatakan enam bahaya (keburukan) yang mungkin timbul daripada budaya memuji tersebut iaitu empat keburukan kembali kepada orang yang memberikan pujian dan dua keburukan lainnya kembali kepada orang yang dipuji.

Bagi pihak yang memuji, keburukan yang akan diperoleh ialah melakukan pujian secara berlebihan sehingga menjerumus ke dalam dusta, dia memuji dengan berpura-pura menunjukkan rasa cinta dan simpati yang tinggi sedangkan dalam hatinya adalah sebaliknya, ia menyatakan sesuatu yang tidak disokong oleh fakta sebaliknya pembohongan semata-mata dan dia telah menggembirakan orang yang dipuji padahal orang itu melakukan
kesalahan.

BANGGA

Dua keburukan yang menanti orang yang dipuji pula ialah dia akan merasa sombong (kibr) dan bangga diri (ujub) - kedua-dua adalah penyakit yang boleh ‘mematikan’ hati seseorang dan keburukan kedua, orang yang dipuji akan merasa hebat, tidak perlu bersusah payah dan bekerja kuat.

Kesimpulannya, dalam apa juga yang kita lakukan berkaitan dengan lidah yang melahirkan kata-kata kita harus berhati-hati, tidak kiralah sama ada ia teguran, pujian, kenyataan atau berhujah.

Ini kerana setiap apa yang diperkatakan akan diperhitungkan di akhirat kelak apatah lagi jika ia berkaitan dengan soal kebenaran dan kebatilan.

Justeru jadikanlah firman Allah dalam surah Ali-Imran ayat 104 dan 105 sebagai pegangan, maksudnya;

“Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang mengajak kepada kebajikan dan menyuruh kepada makruf dan mencegah dari kemungkaran dan mereka itulah orang-orang yang beruntung.

“Dan janganlah kamu seperti orang-orang yang bercerai-berai dan berselisih sesudah datang keterangan yang jelas kepada mereka dan mereka itulah orang-orang yang akan mendapat azab yang berat.”


http://www.iluvislam.com/

BARAKALLAHU LANA :)

Friday, August 5, 2011

Puasa Kerana Allah atau Kerana Ramadhan ?

Alhamdulillah.. Pejam celik, pejam celik, sudah masuk hari ke-5 kita melalui Ramadhan Kareem.. Bagaimana ibadah kita ? Sebanyak manakah kita berusaha mengejar anugerah Allah yang istimewa dan melimpah ruah dalam bulan mulia ni? Sama-sama kita muhasabah.. =)

Selama 5 hari kita melalui Ramadhan, pernahkah kita terfikir..?
- Niat yang dilafaz adakah benar-benar sama dengan maknanya dari sudut luar dan dalam?
- Kerana apa kita berpuasa?
- Adakah amalan puasa kita memberi kesan kepada jiwa dan jasad?
- Adakah kita berusaha mengawal segala perlakuan buruk yang pernah dilakukan sebelum Ramadhan?
- Adakah anggota badan yang lain turut berpuasa atau hanya letih berpuasa menahan lapar dan dahaga?
- Adakah diri benar-benar ikhlas berpuasa kerana Allah atau hanya kerana bulan Ramadhan yang lumrahnya pada bulan ini semua orang Islam berpuasa ?

Persoalannya utamanya, KITA BERPUASA KERANA RAMADHAN ATAU BERPUASA KERANA ALLAH ?


Fenomena yang berlaku pada hari ini, masyarakat kita suka menggantikan perkataan Bulan Ramadhan kepada Bulan Puasa. Kerana itulah bila hadirnya Ramadhan.. Perbezaan yang dilihat oleh mereka kepada bulan Ramadhan dengan bulan-bulan lain hanyalah PUASA. Tidak melihat kelebihan-kelebihan lain mahupun berazam untuk beribadah sebanyaknya, ikhlaskan diri dan menjadi lebih baik pada bulan Ramadhan.

Kerana ini juga lah, ramai yang berpuasa menahan lapar dan dahaga semata-mata. Hati,lidah,mata dan anggota lainnya tidak turut diajak puasa.Inilah yang dikatakan puasa kerana Ramadhan.Kerana Ramadhan memang bulan untuk puasa. Tak boleh makan dan minum. Akan nampak pelik jika orang ramai berpuasa tapi sebilangan kecil tak berpuasa. Cuba kita fikir, jika disekeliling kita ramai yang tidak berpuasa, adakah kita akan tetap menurut perintah Allah itu? Sama-sama kita muhasabah niat dalam diri kerana apa. =)

Puasa kerana Ramadhan sungguh letih. Kerana puasanya dirasai kosong tanpa pengisian. Rutin yang sama setiap masa sebelum Ramadhan. Tiada yang berubah membuatkan diri yang berpuasa kerana Ramadhan semata letih berpuasa.

Puasa semata-mata kerana Ramadhan memang ketara perbezaannya dengan puasa yang ikhlas kerana Allah.

Puasa kerana Allah adalah puasa yang pada asasnya menahan lapar dan dahaga. Dan disertai dengan puasa anggota tubuh badan yang lain. Misalnya, puasa mata dari memandang perkara-perkara yang melalaikan. Puasa lidah dengan menahan lidah menuturkan kata-kata yang tidak baik dan menyucikannya dengan banyak berzikir dan tadarus. Dan sebagainya.

Sabda Rasulullah:-
"Sekiranya umatku tahu kelebihan yang ada dalam bulan Ramadhan, nescayamereka inginkan semua bulan menjadi Ramadhan."


Jika seseorang itu berpuasa kerana Allah. Maka sudah pasti dia ingin mengejar segala kelebihan yang ada dalam Ramadhan kerana dia tahu, bulan Ramadhan hanya datang sebulan dalam setahun. Kerana tak pasti apakah masih ada peluang untuk Ramadhan yang akan datang, maka setiap kali hadirnya Ramadhan dia pasti akan bersungguh-sungguh melepasi 3 fasa dalam Ramadhan dengan jayanya.

Mari kita perhatikan dunia sekarang. Ramadhan, memang semua orang Islam berpuasa. Siaran TV, radio dan sebagainya menayangkan pelbagai pengisian sempena Ramadhan. Tapi di kaca TV juga, masih ditayangkan atau tidak rancangan-rancangan yang lagha ? Itu persoalan dari segi apa yang ditayangkan oleh media.
Di sekeliling kita? Berapa banyak yang berpuasa namun aurat masih belum ditutup? Berapa ramai yang berpuasa namun masih tidak menjaga pergaulan ? Seramai mana yang berpuasa di siang hari namun malamnya kosong tanpa isi ?

Maka dengan itulah, kita nilai kembali, kita muhasabah lagi.. PUASA KITA KERANA RAMADHAN ATAU KERANA ALLAH ???


"Ya Allah, berilah kami kesempatan untuk meraih sebanyak-banyaknya ganjaran yang Kau limpahkan dalam bulan mulia ini Ya Allah.
Ya Allah, berilah kami peluang agar dapat kami capai janjiMu. Agar dapat kami peroleh rahmat dan maghfirahMu. Juga dapat kami peroleh pahala berlipat ganda agar kami bisa terlepas dari azab api nerakaMu.
Ya Allah, permudahkanlah kami untuk memperoleh malam istimewaMu.
Ya Allah, terimalah ibadah kami, terimalah taubat kami sepanjang hayat kami.
Ya Allah, bantulah kami dalam mujahadah melawan hawa nafsu demi redhaMu sepanjang umur kami.
Ya Allah, jika dalam bulan ini kami berusaha beribadah, maka jadikanlah kami insan yang istiqamah dalam amalan kami.
Ya Allah, jika hati kami sucikan dalam Ramadhan ini, maka jadikan kami insan-insan yang tetap suci setelah keluar dari Ramadhan sehingga akhir hayat kami.

Ameen Ya Rabb !"

BARAKALLAHU LANA :)

Monday, August 1, 2011

Salam Syahral Kareem !




Ramadhan..
Didalamnya terisi ketenangan..
Untuk menghapus kekalutan menyesakkan..

Ramadhan..
Fasa-fasa didalamnya..
Adalah peluang buat hamba dari Pencipta..

Ramadhan..
Sebuah kelapangan yang diberi..
Untuk setia menghayati..

Ramadhan..
Dijanjikan oleh Yang Esa..
Kesetiaan bakal dibalas syurga..

Ramadhan..
Bulan yang terkandung Barakah..
Yang terisi Rahmah dan Maghfirah..

Ramadhan..
Waktu terhapusnya dosa yang tegar..
Tatkala mengalirnya air mata di malam Lailatul Qadar..

Ramadhan..
Adalah seketika purnama..
Yang menjadi tanggungjawab semua hamba..

Ramadhan..
Adalah sebuah ruang waktu..
Yang tidak ada selalu..

Ramadhan..
Ruang waktu yang memberi bahagia..
Jika barakahnya diambil jaga..

Ramadhan..
Ruang waktu yang menjamin indah..
Jika tiap detiknya menjadi ibadah..


" Salam 'Alaykum ! Buat teman blogger... Salam Syahral Kareem ! Moga sentiasa dianugerahkan kesihatan yang berpanjangan serta peluang untuk mengharungi hari-hari dalam Ramadhan dengan merebut dan mencapai Rahmah dan Maghfirah Allah yang dijanjikan =) Semoga Ramadhan kali ini lebih baik dan terisi daripada Ramadhan yang lalu.. Kullu 'am wa antum bikhoir.. :D " 

- Nur - 

BARAKALLAHU LANA :)